Kali pertama pengalaman menjadi petugas merangkap dhuyufurrahman

Aku bertolak dari kompleks Kelaja Jaya lebih kurang jam 1 tengahari menuju ke KLIA. Flight berlepas dari KLIA menuju ke Jeddah lebih kurang jam 3 petang. Lapan jam dalam penerbangan, sampai Jeddah lebih kurang pukul 5.40 petang (waktu tempatan Saudi)

Aku naik shuttle menuju ke arrival. Mula beratur sampai lepas imigresen, berjam. Waktu tu dah hampir pukul 1 pagi. Ada dirver mini bus menunggu membawa aku dan petugas yang lain ke pejabat konsulat tabung haji di Mekah. Petugas dihidangkan makan Nasi Mendi ayam golek.  Semua petugas kemudian menunaikan solat musafir.

Separuh daripada petugas mengenakan ihram untuk memasuki Mekah. Aku akan memasuki Madinah, oleh itu aku tidak berihram. Perjalanan dari Mekah ke Madinah mengambil masa lebih kurang 4 jam setengah, sama jarak seperti Kuala Lumpur ke P.Pinang. Keadaan dalam mini bus sangat dingin, mujur aku dah bersedia dengan jaket. AKu tidur tapi tak berapa lena. Perjalanan mengharungi padang pasir yang sederhana gelap, dingin dan sunyi.

Tiba di Madinah, aku nampak menara putih besar bercahaya. Rupanya ia salah satu tiang masjid Nabawi. Sampai di hotel Al-haram, sejurus lepas check in, azan Subuh berkumandang. Petugas senior yang keletihan masih di bilik. Aku bersama seorang lagi petugas turun dan menuju ke masjid Nabawi. Aku kali pertama sementara kawan aku itu dah beberapa kali kerana dia pernah datang umrah dan juga belajar di sana. Dia bawa aku melihat Raudhah dan perkuburan baqi'.

Hari telah pun cerah, kawan aku itu bawa aku menikmati shawarma. Dia pandai cakap Arab sikit-sikit. Kemudian aku balik ke hotel. Kemudian kami bersarapan di hotel pula. Selesai bersarapan, aku berjumpa penyelia. Aku diberikan sedikit tugas, sebelum diminta untuk membantu seorang petugas senior di hotel movenpick. Petugas itu datang mengambil aku bersama seorang petugas rencam. Aku di bawa ke hotel bertaraf 5 bintang itu. 

Aku membantu setup peralatan tertentu. Di hotel itu, petugas tidak seramai seperti di Al-Haram. AKu ditempatkan di sana selama lebih kurang sebulan. Selepas lebih kurang 20 hari berada di Madinah, aku dibawa memasuki Mekah buat pertama kali. Aku berhenti untuk berniat ihram di Bir' Ali. Selesai solat, aku dan petugas di bawa memasuki miqat.  Tiba-tiba terdapat sekatan jalan raya ketika hampir memasuki kota Mekah. Pihak berkuasa tersebut meminta passport setiap daripada kami. AKu gagal menjumpai passport di dalam beg, walaupun aku telah periksa berkali-kali sebelum bertolak dari Madinah. Mujur pihak berkuasa tersebut melepaskan aku dan kami memasuki Mekah dengan selamat.


AKu berada di Mekah hanya beberapa hari. Tujuan utama hanyalah untuk lawatan kerja sambil meninjau beberapa kawasan sebelum bermulanya operasi Masya'ir. Dikenali juga sebagai operasi kemuncak haji. Setelah beberapa hari, dan juga setelah melakukan umrah pertama dan kedua dalam seumur hidup, aku kembali ke Madinah. Cuma aku dan seorang petugas senior, sebahagian petugas yang dipinjam dari Mekah kekal di sana.

Sepuluh hari berada di Madinah, aku kembali semula ke Mekah. Kali ini waktu kemuncak haji semakin hampir. Aku ditempatkan di hotel Marwah Naqa (Marwah Naga) ketika di sana. Hotel tersebut adalah paling hampir dengan Masjidil Haram. Aku sempat beberapa kali menunaikan solat subuh di masjid tersebut. Hotel lama tapi penuh dengan elemen sentimental value. Menjelang operasi masyair, aku bersama petugas lain membantu jemaah menaiki bas mengikut giliran yang ditetapkan. AKu bertugas di hotel ibupejabat iaitu di Abraj al-Janadriyyah. Tugas aku adalah memastikan semua jemaah bergerak ke Arafah.Sampai di Arafah, selepas solat Subuh, aku berehat (lelap seketika) di khemah petugas perubatan. Aku berkenalan dengan seorang doktor muda, sebaya aku. Belajar di Jordan.

Selesai wukuf, semua jemaah menunggu giliran sekali lagi menaiki bas untuk ke Mudzalifah. Ketika itu waktu telah melepasi Maghrib.ke semua jemaah sampai ke Mudzalifah selepas isya'. Jemaah ditempatkan di dalam kawasan berpagar sementara aku dan petugas berada di kawasan luar, kawasan bas-bas yang sedang menunggu untuk trip seterusnya iaitu ke Mina. Waktu mabit di Mudzalifah adalah dari waktu isya' hinggalah ke waktu hampir Subuh. DI sana disunatkan mengutip anak-anak batu.

Ke semua rombongan jemaah haji serta petugas sampai ke destinasi terakhir iaitu di Mina selepas waktu Subuh. Aku agak kepenatan ketika itu tetapi aku tetap menjalankan tugas yang diamanahkan.  Aku berjalan menuju ke tempat melontar yang mempunyai jarak sejauh 7000 meter, berjalan kaki. (pergi-balik). Aku melontar untuk hari yang pertama pada 10 Zulhijjah.

Waktu malam di Mina, khemah di lengkapi penghawa dingin. Oleh kerana hanya memakai ihram, udara dingin tersebut amat dirasai. Tiba-tiba seorang hamba Allah (petugas rencam berpengelaman) bangun lalu menutup penghawa dingin tersebut. Segala puji bagi Allah...

Sewaktu menunggu waktu melontar hari berikutnya, aku menikmati bekalan makanan yang terdapat di khemah. Bungkusan-bungkusan makanan seperti megi dan sebagainya disediakan. Air panas disediakan di paip-paip tertentu. Bilik air pula agak terhad. Ketika tiba waktu jemaah dari Malaysia bergerak ke tempat melontar, baru lah aku mengambil peluang untuk ke tandas memandangkan orang telah kurang.

Jemaah dari Malaysia biasanya melontar di sebelah malam bagi mengelakkan kesesakan dan juga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Waktu siang aku berjalan bersama-sama saudaraku di sekitar khemah Mina. Kami juga memanjat bukit bagi melihat penempatan jemaah dari negara lain. Sangat menarik...

Tanggal 13 Zulhijjah , ketika jemaah telah melakukan lontaran terakhir serta bertahallul,  maka semua jemaah dan bertugas bersiap sedia untuk bergerak pulang ke Mekah semula pada keesokan harinya. Petugas adalah antara mereka yang terakhir sekali meninggalkan Mina, bagi memastikan tiada jemaah yang tertinggal.

Sampai di Mekah, setelah melapor diri di ibupejabat, aku pulang ke hotel. AKu berehat sehingga keesokan hari. Aku melakukan tawaf Ifadah pada hari-hari yang berikutnya, setelah jumlah jemaah telah sedikit berkurang di kawasan kaabah. Ketika ini,waktu yang tinggal sebelum tempoh aku sebagai petugas ,tamat, semakin hampir. Selepas beberapa hari, aku pun mendapat surat kebenaran untuk pulang ke tanah air. Aku dibawa ke Madinatul hujjaj dan melakukan tugas-tugas seperti data entry selama hampir seminggu di sana, sebelum menaiki pesawat. Di situ lah juga aku berjumpa dengan beberapa sahabat yang sama-sama menaiki pesawat pada hari pertama ketika berlepas dari tanah air, tetapi tidak pernah kelihatan samada di Mekah atau Madinah, kecuali pada hari pertama di Jeddah.

Comments